Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Joshua Liew berkata, inisiatif pengembangan pasaran itu bakal melibatkan perbelanjaan modal kira-kira RM1 juta untuk setiap cawangan.

Menurutnya, syarikat juga merancang untuk membuka kira-kira 30 cawangan baharu di luar negara pada tahun 2019.

“Sehingga kini, kami mempunyai 502 cawangan termasuk 152 di Malaysia dan 350 di 16 buah negara.

“Kami melaksanakan langkah pengembangan secara agresif bagi memenuhi permintaan yang meningkat terutamanya di pasaran global, khususnya bagi segmen makanan segera berstatus halal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! dalam satu temu bual di Marrybrown cawangan Citta Mall di sini baru-baru ini.

Menurut Joshua, bagi pasaran luar negara, Marrybrown merancang untuk membuka tiga cawangan di Olympic Village, Jepun selain di Shibuya pada tahun depan bagi memenuhi permintaan meningkat terhadap makanan halal di negara itu.

“Dengan kedudukan Jepun yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020, kerajaan negara itu membuka peluang kepada syarikat penyedia makanan halal untuk memenuhi keperluan meningkat terutamanya daripada pelancong luar.

“Ini didorong lagi oleh faktor makanan halal itu sendiri yang kini menjadi satu trend terbaharu dalam kalangan penduduk Jepun serta kemasukan ramai pelancong beragama Islam.

“Selain itu, kami juga sedang meninjau potensi untuk menembusi pasaran di Korea melihatkan situasi kesukaran untuk mendapatkan makanan halal di negara itu pada masa ini,” ujar­nya.

Marrybrown juga bakal membuka cawangan terbaharunya di Amsterdam, Belanda tahun ini selain di Hague dan Rotterdam pada tahun depan.

Kesemua cawangan Marrybrown termasuk di luar negara mempunyai sijil halal yang di­sahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.