Kejayaan menyiapkan dan pelancaran rasmi Marina One dan DUO, yang memiliki gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira S$11 bilion (RM33 bilion), adalah hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang dimanfaatkan daripada hubungan dua hala yang kukuh dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, kejayaan menyiapkan projek pembangunan bersama bertaraf dunia oleh Khazanah dan Temasek membuktikan pencapaian menerusi kerjasama dan perkongsian erat yang memanfaatkan kekuatan dan faktor-faktor saling melengkapi antara kedua-dua negara.

“Dalam hal ini gabungan kekuatan dan nilai-nilai kompetitif Iskandar Malaysia dan Singapura,” katanya menerusi dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini semalam.

Pembangunan Marina One dan DUO, yang masing-masing terletak di Marina South dan Ophir-Rochor, dibangunkan oleh M+S Pte. Ltd. (M+S) yang dimiliki 60:40 oleh Khazanah dan Temasek.

Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2011 untuk membangunkan tanah terbabit susulan pelaksanaan penuh Terma-Terma Perjanjian (POA) antara Malaysia dan Singapura.

Marina One dan DUO adalah pembangunan bersepadu dengan komponen pejabat, runcit dan kediaman dan telah memenangi pelbagai anugerah serta mendapat pengiktirafan termasuk bagi reka bentuknya yang mesra alam dan lestari.

Kedua-dua projek itu berkedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan berterusan sektor hartanah dan komersial dan telah menarik minat besar pasaran serta mencatatkan kadar pembelian tinggi bagi komponen kediaman dan perniagaan dan memperoleh penyewa utama termasuk syarikat multinasional global.

Sebelum ini, Khazanah dan Temasek juga melaksanakan pembangunan bersama di Iskandar Malaysia menerusi Pulau Indah Ventures Sdn. Bhd., usaha sama 50:50 yang membangunkan projek kesihatan bersepadu Afiniti Medini dan Avira. Projek Afiniti Medini telah disiapkan pada tahun 2016.