Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail berkata, tempoh suku pertama tahun ini terbukti menyaksikan pasaran yang amat kompetitif namun tidak menghalang syarikat tersebut mencapai sasarannya.

Malah, tempoh berbaki 2018 juga memberi cabaran besar dari segi peningkatan harga minyak serta pengukuhan nilai ringgit.
"Keupayaan ringgit mengukuhkan nilainya akan memberi manfaat kepada rakyat tempatan. Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari bahawa ini sebaliknya tidak memberi faedah kepada kami di peringkat global.

"Sebagai contoh, apabila kami menjual tiket penerbangan di Australia dalam mata wang negara itu, ia tidak memberi manfaat jika ringgit sebaliknya mengukuh," katanya kepada Bernama.

Kapten Izham yang juga juruterbang pertama menyandang tugas utama mengemudi syarikat itu berkata, antara strategi utama Malaysia Airlines adalah meningkatkan pulangan berbanding perolehan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (RASK).

Syarikat penerbangan nasional itu mencapai peningkatan RASK sebanyak 3.5 peratus bagi tahun ke tahun untuk suku pertama 2018 manakala prestasi ketepatan masanya pula meningkat 4.0 peratus kepada 76 peratus dan Indeks Kepuasan Pelanggan turut naik sebanyak 4.0 peratus.

"Aspirasi kami tidak hanya untuk memulihkan prestasi syarikat ini tetapi memastikannya untuk turut mencatat pertumbuhan.
"Saya sedia maklum yang kita mungkin tidak dapat berkembang pesat sebagaimana syarikat penerbangan lain seperti Cathay Pacific, Emirates dan Etihad.

Harapan saya adalah untuk menyaksikan Malaysia Airlines mampu mencatat pertumbuhan mampan secara berperingkat iaitu dengan sasaran 3.0-4.0 peratus bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya. - Bernama