Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dibangunkan dengan kerjasama Touch Meccanica Sdn. Bhd. (TMn) itu melibatkan kira-kira RM1.3 bilion.

“Projek tenaga solar fotovoltan bersepadu yang berkeluasan kira-kira 80.94 hektar itu mampu menghasilkan tenaga berkapasiti sehingga 50MW dengan kos projek bernilai RM300 juta.

“Sementara bagi projek hidro mini pula, ia melibatkan kos sebanyak kira-kira RM1 bilion berserta jangkaan penghasilan kapasiti tenaga sehingga 100MW,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Malakoff dan TMn yang turut disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Projek tenaga solar fotovoltan bersepadu itu dijangka dibangunkan di Gambang, manakala projek hidro mini pula terletak di lima lokasi termasuk Bera, Maran dan Pekan.

Menurut Ahmad Fuaad, kerja-kerja pembinaan projek tenaga solar fotovoltan dijangka mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan, manakala projek hidro mini akan melibatkan dua tahun.

“Kesemua projek ini akan menjadi pemangkin kepada Malakoff untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam segmen RE di Malaysia, sekali gus mempelbagaikan portfolio usaha penjanaan tenaga kami,” ujarnya.

Pada masa ini, daripada sejumlah 7,000MW kapasiti penjanaan tenaga keseluruhan Malakoff, sebanyak 210MW terdiri daripada projek RE yang terletak di Australia.