Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, projek-projek itu, terutamanya fotovoltaik solar berskala besar dan kuasa hidro mini dijangka menjana 150 megawat (MW) tenaga.

"Ia adalah projek bersaiz besar merangkumi tujuh tapak bagi kuasa hidro dan satu bagi bagi ladang solar bersepadu.

"Bagi projek hidro 100MV, kami menganggarkan kos bernilai kira-kira RM1 bilion, dan ladang solar 50MW kira-kira RM300 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malakoff dan Touch Meccanica di sini, hari ini.

Permeteraian itu disaksikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ahmad  Fuaad berkata, 70 peratus daripada jumlah kos akan dibiayai menerusi pinjaman, dengan baki menerusi dana dalaman. 

Di bawah MoU itu, kedua-dua syarikat bersetuju membincangkan kecenderungan eksklusif, perkara-perkara  berkaitan dengan projek tenaga.

Malakoff juga akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi tujuan menentukan daya maju teknikal dan komersial projek-projek itu.

Projek hidro itu dijangka terletak di lima lokasi di Bera, Maran dan Pekan, manakala projek solar di tapak seluas 80.94 hektar di Semuji.

Tapak-tapak sebenar hanya akan dikenal pasti selepas kajian kebolehlaksanaan selesai dan pembinaan projek hidro pertama akan mengambil masa kira-kira 14 bulan untuk disiapkan. - Bernama