Ibu kepada lima orang cahaya mata itu menyatakan keputusan yang diambil kira-kira lima tahun lalu itu membuatkan impiannya untuk bergelar usahawan wanita bumiputera telah berjaya dikecapi.

“Mungkin sudah tiga tahun bekerja, perasaan tidak seronok datang mengganggu fikiran saya dan sejak itu, saya mula serius memikirkan cara untuk menjalankan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini baru-baru ini.

Menurut Nurazila, berbekalkan simpanan wang saku, dia memulakan perniagaan produk kosmetik jenama Z’bayvion bermula awal tahun 2014 dengan sokongan daripada suami serta keluarga terdekat.

Katanya, lebih daripada setahun dia mengambil masa untuk membuat kajian penuh terhadap ke­perluan produk penjagaan wajah dan kosmetik di pasaran selain proses penyelidikan dan pembangunan produk Z’Bayvion.

“Menerusi sokongan suami yang membenarkan saya menjalankan perniagaan selain minat dan hobi mendalam dalam arena perniagaan, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Tuhan,” ujar wanita kelahiran Kampar, Perak itu.

Mengimbas kembali mengenai fasa awal menjalankan perniagaan, Nurazila me­ngakui terdapat pelbagai cabaran dan halangan yang dilaluinya terutama untuk membina kepercayaan dan penerimaan orang ramai terhadap produknya.

Menurut beliau, produk baharu di pasaran kebia­saannya mengambil masa agak lama untuk dikenali umum lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan banyak syarikat gergasi yang jauh mendahului.

“Masih segar dalam ­ingatan, produk saya pernah dilabel sebagai produk ‘kampung’ dan tiada kelas ketika kemunculan awal di pasaran. Perasaan pada ketika itu amat sedih, namun saya seorang yang tidak mudah berputus asa dan sentiasa ingin melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara tersebut secara tidak langsung menjadikannya lebih bersemangat untuk membina keyakinan di pasaran tempatan selama bertahun-tahun hinggalah Z’Bayvion yang lebih mesra dekenali sebagai ‘kosmetik pantas bersiap’ berjaya menembusi pasaran luar bermula awal tahun ini.

“Kini, rangkaian produk Z’bayvion berjaya menembusi ke pasaran New York, London, Rusia, Korea, Itali dan paling banyak mendapat permintaan di Mekah.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan dan hala tuju syarikat, Nurazila berkata, pihaknya sedang memberikan fokus kepada penambahan pengambilan ejen dan stokis serta menyasarkan seramai 300 orang di seluruh Malaysia.

Menurutnya, sasaran tersebut disokong dengan produknya yang diiktiraf halal, mesra wuduk dan boleh dibawa solat selain manfaatnya kepada pengguna.