Ketua Pembangunan Hartanah MAHB, Ranhill Singh berkata, pembangunan tersebut dijangka mampu menjana pelaburan lebih daripada RM1 bilion daripada pihak swasta dalam bentuk fasiliti, peralatan, sistem dan teknologi di kawasan berkenaan.

“Pelaburan kami akan selesai pada 2020 dan pelaburan swasta sebanyak RM1 bilion akan turut berlaku secara selari dalam tempoh lebih lima tahun.

“Ia seterusnya akan mencipta lebih daripada 3,000 peluang pekerjaan baharu di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media bagi pembangunan KLIA Aeropolis dan Lapangan Terbang Subang di sini semalam.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Pembangunan ekosistem ekonomi di KLIA Aeropolis yang berkeluasan kira-kira 100 kilometer persegi, atau dua kali ganda saiz Putrajaya melibatkan perancangan pembangunan sehingga tahun 2050.

Ia memfokuskan kepada tiga sektor utama iaitu perkhidmatan kargo udara dan logistik; penerbangan dan aeroangkasa serta mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran serta gaya hidup.

Pada 2050, KLIA Aeropolis dijangka menguruskan sehingga 160 juta penumpang setahun dan menjadi sebuah perbandaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara.