ISP ditubuhkan oleh sekumpulan pengendali sekolah yang berpengalaman dan berkepakaran dalam bidang pendidikan serta komersial.

Ia menguruskan sekolah Pra-K-13 di seluruh Eropah, Amerika Utara, Amerika Tengah dan Asia Barat.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pelupusan itu dilaksanakan selaras dengan strategi pelaburan berhemat Ekuinas untuk memastikan Kadar Pulangan Dalaman (IRR) yang positif.

“Di samping itu, Ekuinas percaya bahawa ISP yang mempunyai sumber dan kepakaran operasi dapat menyokong serta membimbing kumpulan ke arah kejayaan yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, masa dan iklim ekonomi adalah bersesuaian bagi pihaknya melupuskan Tenby kerana ia membolehkan Ekuinas menjana pulangan yang positif untuk mengekalkan prestasi dana tersebut.

“Syarikat berpuas hati selepas lapan tahun beroperasi, inisiatif pelupusan kami sedang berkembang pesat untuk mempercepatkan proses merealisasi pelaburan kami.

“Melalui pelupusan ini, Ekuinas akan menampung kos pelaburan asalnya dan menjana IRR positif sebanyak 45.7 peratus bersamaan 2.5 kali modal dilaburkan, termasuk dividen yang telah diterima,” ujarnya.

Tenby yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1960, merupakan kumpulan pendidikan swasta terkemuka di Malaysia.

Ia menawarkan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa swasta di enam buah kampusnya di Ipoh, Perak; Pulau Pinang, Miri, Sarawak; Setia Alam, Selangor; Johor Bahru dan Semenyih, Selangor.

Sepanjang pelaburan Ekuinas dalam Tenby, ia telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan hasil dan perolehan secara agresif dengan meningkatkan jumlah pelajar daripada 4,600 ke lebih 5,000 orang.