Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, dana yang bakal dijana daripada IPO itu akan digunakan khususnya dalam menyokong usaha pengembangan agresif yang dirancang oleh syarikat bagi pasaran serantau.

“Cadangan ini selaras dengan perancangan korporat syarikat untuk mengembangkan lagi jenama ini ke pasaran lebih luas pada masa hadapan,” katanya selepas majlis Kerjasama Strategik Loob, Petronas Dagangan Bhd. (PDB) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mengembangkan kedai Tealive di Kedai Mesra Petronas di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir.

Menurut Bryan, pihaknya mengunjurkan pembukaan sebanyak 100 buah cawangan baharu di Kedai Mesra Petronas di seluruh negara pada tahun ini dengan sasaran pembukaan sebanyak 300 buah kedai Tealive di Kedai Mesra dalam tempoh tiga tahun menerusi kerjasama itu.

“Kerjasama ini turut menyediakan platform kepada para pelajar UiTM dalam mempelajari pengurusan kedai Tealive,” ujarnya.

Tealive kini memiliki sebanyak 222 cawangan di seluruh negara.