Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kerja-kerja asas bagi pembukaan kampus di Namibia, Uganda serta Nigeria telah dimulakan dengan pengambilan pelajar sulung dijadualkan pada Mac.

Jelasnya, pembukaan kampus Universiti Limkokwing di Rwanda pula disasarkan pada tahun 2020, menjelang Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 yang bakal diadakan di sana pada tahun berkenaan.

“Kehadiran kami adalah daripada jemputan kerajaan negara tersebut, jadi kami dapat me­langkau banyak prosedur dan halangan, malah mereka turut menyediakan tempat seperti bangunan dan kompleks yang tidak digunakan.

“Kami sepatutnya mula beroperasi pada Januari depan untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan menyiapkan fasiliti serta infrastruktur kampus. Selain itu, kami juga telah memiliki sejumlah pelajar tersedia, kebanyakannya mendapat biasiswa kerajaan dan industri di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama media di kampus utama Universiti Limkokwing di sini semalam.

Menurut Raja Aznil, pihak­nya menyasarkan pendaftaran sekurang-kurangnya 500 orang pelajar di setiap kampus baharu Limkokwing, bagaimanapun menjelaskan jumlah pelajar sebenar seba­nyak 2,000 orang.

“Penerimaan terhadap universiti kami di Afrika adalah amat membanggakan. Keha­diran Limkokwing ke benua itu melangkaui sektor pendidikan tetapi juga memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Kehadiran kami di Botswana misalnya, telah melahirkan kira-kira 10,000 graduan sejak 12 tahun lalu sekali gus mentransformasi industri negara itu.

“Dahulu hanya ada satu ste­sen televisyen di sana dan kan­dungannya diambil dari Johannesburg, kini sudah ada stesen swasta yang digerakkan oleh alumni Universiti Limkokwing,” katanya.

Universiti Limkokwing kini memiliki kampus di Bostwana, Lesotho, Eswatini (sebelum ini Swaziland), Sierra Leone dan London, United Kingdom selain Kuching, Sarawak.