Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata lima peniaga telah menaik taraf kepada  3S (yang menawarkan jualan, servis dan alat ganti) dan 4S (yang menawarkan jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat).

Syarikat kereta nasional itu berkata, kumpulan kedua peniaga yang menandatangani perjanjian Menaik Taraf Rangkaian Peniaga akan mengikuti langkah empat yang lain yang sudah dinaik taraf pada Disember tahun lepas.

"Hakikat kami memperoleh lebih ramai peniaga untuk menaik taraf premis masing-masing membuktikan ada ahli perniagaan yang yakin terhadap jenama Proton selain usaha sama ini akan meningkatkan lagi kehadiran dalam industri," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong.

Proton berkata ia sudah membuat kemajuan dalam program insentif untuk peniaga sedia ada bagi menaik taraf pusat mereka kepada 3S dan 4S, bagi menyeragamkan jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua pelanggan, sambil memastikan kepuasan pelanggan tetap menjadi keutamaan  perniagaan. - BERNAMA