Pengasas Fave, Joel Neoh (gambar) berkata, sejak dilancarkan pada September tahun lalu, FavePay diterima di lebih 5,000 lokasi di lebih 10 bandar raya utama di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Berbeza dengan penggiat pembayaran mudah alih lain di pasaran, FavePay bukan sebuah dompet elektronik (e-Dompet), sebaliknya sebuah platform pembayaran dengan elemen kesetiaan.

“Bagi setiap transaksi yang dibuat bersama rakan perniagaan kami, pelanggan akan mendapat pulangan tunai dalam akaun mereka bagi pembelian selanjutnya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Neoh menjelaskan, dengan kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai akaun simpanan yang didatangkan dengan kad debit bagi kegunaan mereka, pihaknya bersandarkan akaun sedia ada itu bagi membolehkan pelanggan membuat bayaran dengan mudah tanpa perlu menambah nilai ke dalam e-Dompet.

“Sebaliknya, kami bersandarkan akaun sedia ada dan membenarkan pembayaran dibuat de­ngan lebih mudah.

“Sehubungan itu, kami pada masa ini bekerja rapat dengan penggiat e-Dompet terkemuka di rantau ini untuk menyepadukan mereka dan menyediakan pengguna pilihan pembayaran yang lebih pelbagai menerusi FavePay,” katanya.

Jelas beliau, FavePay mengumpulkan pelbagai pilihan pembayaran daripada kad-kad debit dan kredit popular, membenarkan pelanggan menjelaskan pembayaran daripada telefon mudah alih mereka.

Pada masa yang sama, pelanggan berupaya menerima akses pelbagai tawaran menarik, diskaun serta pulangan tunai.

Dengan purata usia pengguna di antara 25 hingga 32 tahun, Neoh memaklumkan, setakat ini sebanyak lebih 2.5 juta muat turun aplikasi FavePay yang telah dicapai sehingga kini.

Jelasnya, bagi perniagaan tempatan, FavePay merupakan kaedah paling mudah bagi me­nerima pembayaran tanpa tunai dan direka untuk menyediakan penyelesaian kesetiaan yang se­nang bagi pedagang.

“Pada hari ini jenama-jenama menggunakan pelbagai kaedah untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan termasuk melalui penyediaan kad kesetiaan dan ganjaran mahupun aplikasi tersendiri.

“Bagi FavePay, kami mengurangkan kos bagi jenama-jenama terbabit dan menyediakan alat kesetiaan yang membenarkan mereka memberi ganjaran kepada pelanggan, pada masa sama mendapatkan data dan panda­ngan yang boleh dimanfaatkan pada masa depan,” ujar beliau.

Neoh menambah, dengan lebih AS$30 bilion (RM122 bilion) dalam pembayaran mudah alih diunjurkan di Asia Tenggara menjelang tahun 2021, beliau menjangkakan sektor tersebut akan mengalami pertumbuhan yang mendadak.

“FavePay bersedia untuk membantu perniagaan tempatan mendepani perubahan masa depan tanpa tunai ini,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga bersedia untuk memperluaskan platform yang ada kepada lebih banyak perniagaan luar talian, khususnya dalam kategori peruncitan serta minuman dan pengguna.