Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran tersebut meskipun kebanyakan pemain industri berpendapat bahawa terdapat ketidaktentuan pasaran hartanah pada tahun ini.

“Jangkaan positif ini dipacu oleh projek-projek hartanah yang telah dan akan dilancarkan.

“Ini termasuk tiga projek kediaman mampu milik yang diyakini mampu mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prospek LBS bagi tahun 2018 di sini semalam.

Sehubungan itu, Hock San memaklumkan, pihaknya akan melancarkan lapan projek hartanah baharu di sekitar Lembah Klang dan Johor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.19 bilion.

“Strategi kami pada tahun ini adalah untuk menawarkan lebih banyak projek kediaman berta­nah bagi mengimbangi portfolio projek sedia ada dan menarik minat pembeli.

“Daripada jumlah keseluruhan GDV tersebut, kira-kira 40 peratus daripadanya merupakan projek kediaman bertanah,” jelas beliau.

Antara projek yang akan dilancarkan LBS pada tahun ini termasuk Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Mercu Jalil, PPA1M LBS Alam Perdana, LBS CyberSouth, Re­sidensi Bintang Bukit Jalil dan Emerald Garden 2 di Johor.

Bagi tahun 2017, sebanyak 10 projek telah dilancarkan dengan GDV berterusan bernilai kira-kira RM2.32 bilion.

Daripada kesemua projek hartanah syarikat pemaju ber­kenaan, sebanyak 58 peratus daripadanya ditawarkan pada harga di bawah RM500,000, manakala 31 peratus dijual di antara RM500,000 ke RM1 juta seunit.

Selain itu, 11 peratus kediaman yang dibangunkan LBS berharga melebihi RM1 juta.