Ketua Pengawai Eksekutifnya, Mohd. Nazri Mohd. Zain (gambar kecil) berkata, kapal Alkahfi Care sepanjang 42 meter itu merupakan antara terpantas dan paling selesa untuk industri minyak dan gas pesisir pantai di negara ini.

Beliau berkata, kapal tersebut yang sepanjang 42 meter memiliki 1,000 tempat duduk termasuk 80 daripadanya dalam kelas perniagaan.

“Ia mampu mengangkut pekerja ke pelantar minyak yang terletak di pesisir pantai dengan kelajuan maksimum 30 knot berbanding hanya 25 knot bagi kapal-kapal pengangkut lain yang ada setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas me­lancarkan kapal Alkahfi Care di Pangkalan Bekalan Kemaman dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Alkahfi, Kamal Affandi Hasan.

Mohd. Nazri berkata, Alkahfi Care turut mempunyai 12 bilik penginapan anak kapal dan dek kargo seluas 110 meter persegi.

Menurut beliau, ia turut memiliki televisyen litar tertutup hampir di setiap bahagian dalam dan luar kapal, peralatan kebakaran serta mencari serta menyelamat.

“Kapal tersebut dari jenis Flex-42X juga satu-satunya kapal pengangkut bersaiz sederhana di dunia yang memperoleh pasport hijau atau pengiktirafan untuk kapal yang memiliki ciri-ciri ke­selamatan ditetapkan dalam kelasnya,” jelasnya.