Kejayaan itu dicapai hasil pemasangan 180,000 panel photovoltan oleh pengeluar kuasa bebas, Edra Power Holdings Sdn. Bhd. (Edra) di ladang solarnya di Kuala Ketil, Baling.

Ladang solar berkenaan dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Ahad lalu.

Pengarah Projek Ladang Solar Kuala Ketil Edra, Md. Shamsul Bahrin Hussain berkata, ladang solar itu yang meliputi kawasan seluas 104 hektar merupakan antara ladang solar berskala besar pertama Malaysia yang siap mendahului jadual pembinaannya.

Dijangka menjana anggaran 78,400 kilowatt sejam tenaga elek­trik setiap tahun, tenaga yang dihasilkan cukup untuk menera­ngi purata 30,000 rumah untuk 25 tahun akan datang dan akan mengimbangi kira-kira 54,000 tan pelepasan karbon setahun.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau berkata, projek ladang solar yang dijalankan oleh anak syarikat Edra, Edra Solar Sdn. Bhd. itu merupakan pencapaian pen­ting kumpulan tersebut untuk memulakan jejak tenaga boleh baharu di Asia Tenggara.

Ladang Solar Kuala Ketil mencapai operasi komersial pada 25 Februari lepas dengan tenaga boleh baharu yang dijana disambung ke grid nasional pada Di­sember tahun lalu.

“Projek itu menggunakan 35 peratus kandungan tempatan. Kami menggunakan khidmat subkontraktor tempatan sepanjang tempoh pembinaan selain tenaga kerja tempatan bagi kerja-kerja penyelenggaraan untuk terus menyokong ladang solar ini.

“Ladang Solar Kuala Ketil milik Edra ini unik, kerana kami te­lah menambah nilai penggunaan tanah untuk melengkapi inisiatif pertanian di Kedah,” katanya.

Edra memperuntukkan 30 meter zon penampan di sekitar ladang solar untuk penanaman buah-buahan, menyediakan pendapatan mampan kepada masyarakat setempat.

“Kajian tanah yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Ketil mendapati ia sesuai untuk kegiatan pertanian dan kami memilih untuk menanam nanas jenis MD2 dan Moris.

“Ladang nanas seluas kira-kira 16 hektar ini dijangka menyediakan pendapatan kasar kira-kira RM684,000 untuk satu kitaran penuaian selama 14 bulan bersamaan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM14 juta dalam tempoh 25 tahun,” katanya.

Tambahnya, dari segi manfaat sosial kepada masyarakat, ladang solar itu akan memberi manfaat kepada lebih 2,600 petani dan membangunkan ekonomi tempatan menerusi pengwujudan 106 peluang pekerjaan langsung untuk masyarakat setempat di Kuala Ketil. – Bernama