Pelaburan itu juga bertujuan untuk memperkenalkan proses terkini bagi pengeluaran guni kertas kegunaan perindustrian dalam usaha meningkatkan jumlah eksportnya di seluruh rantau Asia.

Pengarah Urusan Hasrat Meranti, Mok Tuck Meng berkata, pelaburan itu merangkumi RM20 juta untuk kilang serta RM45 juta bagi mesin dan peralatan.

Menurut beliau, melalui nilai tersebut ia menandakan komitmen syarikat untuk terus menambah baik mutu produk dan menghasilkan penyelesaian pembungkusan berkualiti yang lebih mampan serta inovatif pada kos yang rendah.

“Pelaburan tersebut akan melonjakkan lagi kapasiti pengeluaran Hasrat Meranti sehingga 50 peratus kepada 230 juta guni kertas setahun berbanding 150 juta pada masa ini.

“Eksport kami telah meningkat 62 peratus daripada RM18 juta pada 2017 kepada RM29 juta pada tahun ini.

“Justeru itu, kami yakin mampu meningkatkan lagi nilai eksport ini dan menembusi pasaran baharu melalui peningkatan keupayaan dalam menghasilkan produk berkualiti dan kerjasama yang dijalinkan dengan syarikat Sweden, Billerud Kornas AB,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Kira-kira 35 peratus daripada produk guni perindustrian syarikat itu dieksport ke Thailand, Indonesia, Vietnam, Fili­pina, Brunei, Hong Kong, India, dan Mauritius.

Ini menjadikan eksportnya telah merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak dua digit dari tahun ke tahun dan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 13.3 peratus sepanjang tempoh 10 tahun lepas.

Sementara itu, Tuck Meng menjelaskan, Hasrat Meranti kini merupakan pembekal utama beg pembungkusan simen dengan menguasai 40 peratus bahagian pasaran di Semenanjung.

“Selain daripada memperkenalkan teknologi perkilangan paling maju dari Jerman, kami akan terus memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kemahiran kakitangan dan me­laksanakan lebih banyak projek amal dan kebajikan se­perti pengurangan sisa dan mencipta persekitaran yang lebih bersih serta lebih sihat untuk masyarakat,” ujarnya.