Dalam kenyataan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, dalam keadaan ekonomi serta pasaran global dan domestik semasa, prestasi yang dicatatkan KWSP adalah baik.

Ekuiti, yang merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP terus menjadi pemacu utama hasil, menyumbang RM4.16 bilion, bersamaan 43 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku pertama.

Mohamad Nasir berkata, turun naik pasaran kelas aset serta impaknya terhadap pendapatan telah disokong oleh kumpulan aset KWSP lain yang lebih stabil seperti pendapatan tetap.

"Walaupun ekuiti bersifat turun naik, kelas aset ini mempunyai potensi untuk memberikan pulangan yang tinggi dalam jangka panjang. Ekuiti akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pulangan dan memastikan kami berupaya memberikan dividen sekurang-kurangnya 2.0 peratus melebihi kadar inflasi," katanya.

 Sebanyak 50 peratus pelaburan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap terus menyumbang pendapatan yang konsisten dan stabil.

Suku pertama menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.85 bilion, bersamaan 50 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun, manakala pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf dalam Q12019 adalah sebanyak RM2.52 bilion.

Sementara itu, pinjaman dan bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.33 bilion.

Dalam suku yang dikaji, hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM171.60 juta.

Pelaburan dalam instrumen pasaran wang, yang mewakili 6.0 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan menyumbang RM469.86 juta kepada pendapatan pelaburan.

Pelaburan dalam kelas aset, yang termasuk deposit tetap dan berjangka, berperanan penting dalam memenuhi keperluan mudah tunai jangka pendek KWSP.

Sebanyak RM0.90 bilion daripada RM9.66 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Shariah dan RM8.76 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Mengulas prospek untuk tahun ini, Mohamad Nasir berkata, pasaran global dijangka kekal tidak menentu berikutan sentimen yang didorong oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meruncing.

"Sementara itu, risiko geopolitik dan ketidakpastian berikutan hala tuju dasar bank-bank utama akan memberikan tekanan lebih ke atas ekonomi dunia dalam beberapa bulan akan datang.

"Seperti perniagaan yang lain, pelaburan KWSP akan terkesan oleh risiko-risiko ini, tetapi kami mempunyai Peruntukan Aset Strategik sebagai panduan.

"Kami akan memberi tumpuan dalam memenuhi 10 peratus peruntukan untuk pelaburan hartanah dan infrastruktur sebagai antara pelan kepelbagaian kami dan kami akan menggunakan lebih banyak tunai ke dalam aset alternatif untuk meningkatkan pulangan," katanya.

Beliau berkata, langkah Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan kadar dasar semalaman dijangka memberi impak positif terhadap ekonomi dan membantu mengurangkan sebarang kemerosotan ekonomi.

"Kami optimis untuk memberikan dividen sebenar tidak kurang daripada 2.0 peratus untuk tiga tahun berturut-turut. Kemerosotan ekonomi mempunyai kelebihannya kerana ia memberi peluang kepada kami untuk membeli saham kukuh pada harga yang lebih menarik," kata Mohamad Nasir. - Bernama