Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga 20 Julai lalu, sejumlah RM6.39 juta telah diberikan kepada pekerja yang telah disahkan kehilangan pekerjaan dan layak menerima bantuan interim.

“Selain itu, sehingga 13 Julai lalu, 749 individu telah berjaya menerima penempatan semula pekerjaan selepas mengikuti perkhidmatan pekerjaan oleh Perkeso.

“Sejak SIP diwujudkan, Perkeso telah menerima 14,291 permohonan bantuan interim dan daripada jumlah tersebut, hanya 10,681 individu layak menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Menara Perkeso di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Dr. Aseh Che Amat dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

SIP yang diperkenalkan Perkeso adalah satu jaringan keselamatan sosial bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat diberhentikan atau penutupan syarikat mereka berkhidmat.

Menerusi skim itu, individu yang kehilangan pekerjaan dan layak bukan sahaja menerima bantuan kewangan interim sejumlah RM600 sebulan untuk tempoh maksimum tiga bulan, malah sokongan lain seperti bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan.

Mahfuz menjelaskan, seba­nyak 2,067 permohonan ditolak disebabkan kehilangan pekerjaan berlaku pada 2017 iaitu sebelum Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dikuatkuasakan dan juga pekerja berhenti secara sukarela.

Sementara itu, menjelaskan mengenai pekerja yang ditolak permohonan SIP mereka, Mohammed Azman berkata, caruman SIP memerlukan tempoh matang sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pencarum boleh membuat tuntutan.

“Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2019, jika caruman mereka tidak cukup 12 bulan, kami masih boleh membantu untuk carian pekerjaan,” katanya.