Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, setakat akhir September lalu, sekitar 22,000 unit Myvi baharu masih belum diserahkan kepada pembeli.

“Kami masih belum dapat memberi tempoh penghantaran yang penuh, namun tenaga kerja di bahagian pengeluaran telah memulakan penghasilan kenderaan.

“Seterusnya, proses penghantaran akan bermula tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Aminar Rashid berkata, di sebalik isu tidak diingini yang melanda syarikat automotif berkenaan, pihaknya bersyukur kerana rakyat Malaysia masih terus menyokong Perodua.

“Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan yang terjejas kerana terpaksa me­nunggu,” ujarnya.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Perodua telah menjual sebanyak 168,200 unit kenderaan, peningkatan 11 peratus berbanding 151,600 unit dijual dalam tempoh sama pada 2017.

“Peningkatan ini boleh dikaitkan dengan sambutan positif untuk Perodua Myvi baharu serta model-model lain seperti Axia, Bezza dan Alza, masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 53,700, 38,100 dan 18,400 unit setakat tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, Aminar Rashid menambah, Perodua hanya menjual kira-kira 9,500 buah kenderaan keseluruhannya pada bulan September lalu berikutan pengeluaran Myvi yang terpaksa dihentikan sejak Ogos lepas ekoran isu teknikal yang dialami salah satu vendornya.