Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Abdul Rahman Mohd. Zin berkata, pihaknya kini berada di kedu­dukan kelima dengan pe­nguasaan pasaran sekitar 10 pe­ratus, di belakang syarikat Petronas, NGC, Petron dan BHP.

Menurut beliau, bagi mencapai kedudukan kedua, pihaknya perlu meningkatkan penguasaan pasarannya kepada 17 hingga 18 peratus.

“Kami bakal melancarkan kilang pembotolan LPG baharu di Beranang, Selangor yang dijangka beroperasi pada Ogos ini. Ia memiliki kapasiti 4,000 silinder sehari dan menelan kos sekitar RM11 juta bagi membantu menembusi pasaran sekitar sana.

“Selain itu, kami juga telah melancarkan aplikasi mudah alih di Google Playstore, iaitu LP Gas Trading supaya pelanggan boleh membeli dan memesan gas memasak menerusi telefon pintar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gudang silinder LPG baharu yang dioperasikan rakan pengedarnya, LP Gas Trading di sini semalam.

Fasiliti tersebut yang menelan belanja lebih RM1 juta mampu menyimpan lebih daripada 3,000 silinder LPG.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya juga telah memper­kenal imej baharu Solar Gas dengan silinder berwarna emas selain menggunakan logo baharu bermula 1 Julai lalu.

“Selain sebahagian daripada proses pemasaran dan penjenamaan semula, langkah ini turut membuktikan komitmen kami dalam memastikan silinder gas kami berkualiti tinggi dan selamat,” katanya.

Perniagaan LPG KUB menyumbang lebih 70 peratus daripada perolehan keseluruhan kum­pulan, dengan pendapatan seba­nyak RM400 juta dan keuntungan sebelum cukai hampir RM19 juta bagi tahun 2018.