Ahli Lembaga Pengarah KTMB, Datuk Ahmad Zainuddin Jamaluddin berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai berikutan perkhidmatan tren kargo jambatan darat KTMB telah menguruskan kontena sebanyak 12,500 TEU pada tahun lalu.

“Pada tahun ini kami menyasarkan jumlah penghantaran kontena melebihi dua kali ganda dengan melibatkan laluan tren kargo sehingga ke Thailand.

“Syarikat turut berjaya meraih pendapatan tahunan sebanyak RM12 juta bagi perkhidmatan tersebut dan menjangkakan jumlah itu terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas merasmikan A Joint Sales and Marketing Hi Tea di Hotel Centara di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Kargo, Mohd. Din Mohammad dan Pegawai Eksekutif Multi Modal Freight Sdn. Bhd., Mohd. Hasdey Yaakob.

Majlis berkenaan di sertai seramai 40 wakil ejen penghantaran dari Malaysia dan Thailand termasuklah Penang Port Sdn. Bhd., North Port Bhd. dan West Port Bhd.

Ahmad Zainuddin menjelaskan, KTMB turut menguruskan kontena Kargo Selatan Thailand (STC) sebanyak 104,000 TEU pada tahun lalu dengan melibatkan penghantaran dari Padang Besar ke Perai dan sebaliknya.

“Ini menunjukkan hubungan dua hala yang baik antara KTMB dan ejen STC kerana diberi kepercayaan menguruskan sebanyak 10 tren sehari melibatkan lima laluan ke Perai serta lima ke Padang Besar,” jelasnya.