Timbalan Menterinya,­ Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, masalah pemilikan rumah bagi go­longan itu turut ditambah dengan kadar peningkatan harga rumah yang cepat berbanding kenaikan gaji yang diterima oleh mereka.

“Institusi kewangan perlu mempertimbangkan beberapa perkara khususnya berkaitan pendapatan tambahan daripada kerja sampingan yang mereka raih, ini kerana terdapat beberapa jenis kerja sam­pingan yang pihak bank tidak terima sehingga menyebabkan golongan itu gagal mendapatkan kelulusan pinjaman.

“Daripada pihak kerajaan, kita baru-baru ini telah melaksanakan ekspo Kempen Pemilikan Rumah 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai langkah inisiatif bagi mendepani perkara ini selain skim sewa beli.

“Justeru itu, kami berharap ada langkah lanjutan yang selaras dapat dilaksanakan oleh institusi kewangan untuk bersama-sama membantu pemilikan rumah kepada golongan M40 ini,” katanya sebagai respons kepada rangka inisiatif khas pemilikan rumah golongan M40 yang dicadangkan kerajaan.

Beliau berkata demikian­ kepada Kosmo! ketika ditemui selepas majlis pelancaran Pameran Re­sidensi Adiguru Ukiran Kayu Norhaiza Noordin oleh Seni Ukir Bakawali di Oasis Damansara di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Yayasan Hasanah (Hasanah), Shahira Ahmed Bazari.

Baru-baru ini, Menteri KPKT, Zuraida Kamaru­ddin mengumumkan rangka inisiatif khas bagi memudahkan kumpulan M40 memiliki rumah dijangka siap Mei ini.

Inisiatif kepada kumpulan M40 ini sebenarnya diperluaskan daripada program B40 cuma, M40 ini ada dua kategori iaitu atasan dan bawahan.

Sementara itu, Shahira berkata, yayasan tersebut memperuntukkan seba­nyak RM300,000 bagi Dana Pembangunan Kemahiran pada tahun ini untuk diberikan kepada residensi berpotensi.

“Dana yang disediakan ini dibangunkan untuk tujuan mendedahkan, menghubungkan dan memberi peluang kepada penggiat kesenian Malaysia daripada pelbagai disiplin untuk menyertai program perintis atau residensi.

“Selain itu, kami turut mewujudkan Dana Ke­senian Hasanah (Hasanah Arts Fund) sebagai langkah merancakkan aktiviti seni di peringkat akar umbi, daerah dan inisiatif-inisiatif lain oleh warga seni,” ujarnya.