Pengarah Eksekutifnya, Khor Chan Peng berkata, pihaknya yakin sasaran jualan bateri tersebut mampu dicapai berdasarkan jumlah permintaan daripada pelanggan semakin meningkat sejak berada di pasaran pada tahun 2009.

Menurutnya, sokongan daripada ejennya yang kini seramai 5,000 orang dari seluruh negara juga dapat membantu meluaskan penguasaan pasaran produk.

“Bateri Koyoko menjadi pilihan penunggang motosikal kerana menggunakan teknologi 
nano-gel dari Jerman yang mampu memanjangkan hayat bateri dan membekalkan tenaga dengan lebih konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Koyoko di pejabat JPJ Kedah di sini semalam.

Program pelancaran itu telah disempurnakan oleh Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff.

Chan Peng menjelaskan, bateri itu juga mempunyai inovasi dengan mempunyai mekanisme baharu yang dapat mengukur kapasiti tenaga bateri dari semasa ke semasa.

Harga jualan bateri motosikal itu ialah RM90 seunit.

Tambah beliau, bateri motosikal itu juga merupakan yang pertama di negara ini yang memenuhi kriteria yang ditetapkan Institut Standard dan Penyelidikan Malaysia.

Sementara itu, jelasnya, syarikat telah melabur sebanyak RM25 juta untuk membangunkan sebuah kilang baharu untuk mengeluarkan bateri motosikal di Batu Kawan, Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ketika ini, bateri motosikal tersebut dikeluarkan dari sebuah kilang yang beroperasi di Thailand,” katanya.