Menurut Laporan Kos Pembinaan Antarabangsa 2019 yang dikeluarkan Arcadis, syarikat perundingan global untuk aset semula jadi dan pembinaan, ia di­sebabkan faktor penurunan nilai mata wang ringgit berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2016.

Malaysia berada di tangga ke-97 daripada 100 dalam ranking bandar raya yang memiliki kos pembinaan paling tinggi dan di tangga ke-15 daripada 18 bandar raya di Asia.

New York berada di kedudukan pertama diikuti San Francisco dan Hong Kong manakala Be­ngaluru di tempat terakhir.

“Kuala Lumpur merupakan ekonomi yang sedang memba­ngun dan memiliki rangkaian projek kejuruteraan awam yang bakal menjadi pemacu utama untuk industri pembinaan pada tahun 2019.

“Masih terdapat ketidakpastian politik bagi beberapa projek prasarana utama seperti kajian kos yang berterusan, namun sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ketua Malaysia bagi Arcadis, Justin Teoh berkata, pihaknya menjangkakan sektor pembinaan berkembang pada kadar lebih perlahan tahun ini berbanding tahun 2018 dipengaruhi semakan semula projek-projek infrastruktur mega dan kelembapan projek pembinaan global secara umumnya.

“Bagaimanapun, peruntukan lebih daripada AS$362 juta (RM1.5 bilion) oleh kerajaan untuk perumahan mampu milik dapat merangsang pertumbuhan industri.

“Peningkatan gaji minimum bermula Januari lalu turut memberi kesan kepada kos tenaga buruh jadi industri perlu melihat kepada pelaksanaan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos,” katanya. - K! ONLINE