Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memiliki sekurang-kurangnya lima buah bank koperasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini terdapat dua sahaja bank koperasi di Malaysia iaitu Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) dan Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (Bank Persa­tuan).

Menurutnya, hasrat ini bakal direalisasikan memandangkan ia memiliki kekuatan lebih 1,123 koperasi yang bernaung di bawah Kopsya.

“Pelbagai persediaan sedang dilakukan dan antaranya ialah mengumpul modal seba­nyak RM300 juta seperti yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk memperkemaskan tadbir urus dan menaik taraf sistem komputer.

“Buat masa ini, Kopsya mempunyai modal berjumlah RM64 juta dan kami perlukan kira-kira RM236 juta lagi untuk meme­nuhi syarat modal untuk me­nubuhkan bank koperasi.

“Dalam mesyuarat tadi (semalam), kami telah sebulat ­suara meluluskan untuk menambah jumlah saham dan jumlah koperasi di bawah Kopsya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyua­rat Agung Tahunan Kopsya kali keenam di di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Kopsya, Fatimah Nur­haliza Mohd. Hatta dan Setiausaha Kopsya, Mohamad 
Azmi Omaruddin.

Sementara itu, mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kopsya berkata, pihaknya telah mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 sama seperti tahun sebelum­nya.

“Secara keseluruhan bagi tahun 2017, jumlah dividen yang dibayar kepada semua ahli adalah berjumlah RM2.38 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM2.07 juta.

“Jumlah dividen tersebut adalah hasil keuntungan bersih yang dicatatkan Kopsya pada tahun lalu sebanyak RM5.42 juta berbanding tahun sebe­lumnya sebanyak RM4.29 juta,” katanya.

Terdahulu, pada mesyuarat tersebut juga, Kopsya turut membayar zakat perniagaan sebanyak RM210,000 kepada Lembaga Zakat Selangor.