Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer berkata, sehubungan itu, pihaknya akan memindahkan semua operasi penghasilan Milo dari kilang sedia ada di Petaling Jaya, Selangor.

“Langkah ini sejajar dengan strategi syarikat untuk memacu pertumbuhan kukuh yang mampan dan menguntungkan serta melabur di Malaysia sebagai hab pengilangan utama bagi Kumpulan Nestle.

“Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan tahap kecekapan dan daya saing.

“Usaha ini seterus­nya menyaksikan Kilang Chembong sebagai Pusat Kecemerlangan Pengila­ngan Milo yang terbesar di dunia,” katanya mene­rusi satu kenya­taan di sini semalam.

Menurut Hofbauer, kilang Milo di Chembong adalah aspek penting dalam perniagaan syarikat, membekalkan minuman popular berkenaan ke pasaran domestik dan lebih 20 negara di seluruh dunia.

“Melalui penumpuan operasi dan pelaburan yang dibuat, kami bukan sahaja dapat menaikkan taraf kemudahan pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi, malah meningkatkan kapasiti.

“Ini akan membantu dalam memenuhi permintaan tempatan dan eksport yang semakin berkembang,” jelasnya.

Sementara itu, Lactalis, pe­neraju global dalam perniagaan tenusu dengan operasi di lebih 100 negara, akan memperoleh dan mengambil alih operasi kilang di Petaling Jaya serta perniagaan tenusu dingin Nestle pada harga RM155.3 juta.

Lactalis merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab operasi perniagaan tenusu di ASEAN.

Hofbauer berkata, Nestle tetap positif terhadap pasaran Malaysia dan berharap dapat membuka lebih banyak peluang pertumbuhan pada masa depan.

“Kami menyaksikan potensi besar bahawa pelaburan ini akan membolehkan syarikat mengukuhkan fokus terhadap perniagaan teras yang strategik yang dapat memberikan pertumbuhan jangka panjang.

“Pada masa sama, inisiatif ini akan membuka jalan bagi perniagaan tenusu dingin dan kilang Petaling Jaya untuk berkembang di bawah kepimpinan baharu Lactalis,” ujarnya.