Pengarah Eksekutifnya, Azrin Sabirin (gambar)berkata, cadangan ini bertepatan pada waktunya bersandarkan kepada jumlah kes pusaka yang semakin bertambah pada tahun lalu.

“Sebelum ini, syarikat lebih banyak memberi tumpuan terhadap perkhidmatan pengurusan harta pusaka khas bagi 50,000 pelanggan yang telah menyediakan dokumen bersamanya sahaja.

“Kini, rakyat Malaysia yang kematian ahli keluarga yang terdiri daripada bukan pelanggan Wasiyyah Shoppe ketika hidupnya, boleh menghubungi kami untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka.

“Kami akan membantu mereka memfailkan tuntutan kes harta pusaka di Pejabat Pesaka Kecil bagi kes pusaka yang bernilai kurang dari RM2 juta dan bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil bagi kes bernilai RM2 juta dan ke atas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Azrin menjelaskan, Wasiyyah Shoppe berbangga dengan rekod pengurusan harta pusaka yang mana kesnya telah berjaya diselesaikan dalam tempoh satu bulan setengah bagi kes di Pejabat Pesaka Kecil dan 10 hari di Mahkamah Tinggi Sivil.

Tambah beliau, secara puratanya, kebanyakan kes pusaka ini diselesaikan antara tiga hingga enam bulan bagi kes Pesaka Kecil manakala bagi kes Mahkamah Tinggi Sivil tempoh purata antara sebulan ke tiga bulan.

“Dalam ukuran standard industri, tempoh penyelesaian ini adalah amat pantas,” ujarnya.

Jelas beliau, kelebihan Wasiyyah Shoppe adalah ia tidak mengenakan caj pe­ngurusan harta pusaka berdasarkan nilai harta pusaka seperti yang dikenakan kebanyakan organisasi lain di Malaysia.

Sebaliknya caj pada skala tetap dikenakan mengikut proses pusaka sama ada berlaku di Pejabat Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Menurut beliau, ini menjadikan caj pengurusan pusaka yang dikenakan syarikat secara relatifnya adalah jauh lebih rendah berbanding caj pasaran.

Sehubungan itu, Azrin berkeyakinan terhadap keupayaan Wasiyyah Shoppe untuk mencapai sasaran membantu menyelesaikan 200 kes pusaka bagi perkhidmatan ini pada tahun 2018.