Susulan penjualan itu, pemegangan saham Khazanah dalam IHH akan berkurangan kepada 26.05 peratus manakala Mitsui muncul pemegang saham terbesar dengan pegangan sebanyak 32.9 peratus.

Hasil daripada penjualan itu akan digunakan bagi pelaburan baharu dan keperluan modal Khazanah.

IHH merupakan antara kumpulan hospital swasta terbesar di Asia, mengendalikan 50 hospital dengan lebih 12,000 katil di sembilan buah negara termasuk Singapura, Malaysia, Turki dan India.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, penjualan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Khazanah untuk mengembangkan perniagaan dan mencari masa serta nilai yang sesuai untuk mewujudkan kecairan bagi keperluan modal dan pelaburan pada masa depan.

“Urus niaga itu juga menunjukkan keyakinan Mitsui terhadap pertumbuhan platform IHH.

“Kami terus komited menyokong kumpulan itu dan berharapkan kejayaannya pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Khazanah semalam.

Khazanah berkata, ia akan terus menjadi pemegang saham utama dengan perwakilan dalam lembaga pengarah IHH dan menyediakan kestabilan kepada pemegang saham IHH pada masa hadapan.

Khazanah menjangkakan urus niaga itu selesai pada suku pertama 2019. – Bernama