Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, syarikat akan memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM4 juta bagi setiap cawangan.

“Kami mempunyai kapasiti kewangan dan operasi serta komitmen pemegang saham untuk mengembangkan perniagaan kami pada tahun ini, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi kukuh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran KFC Golden Egg Crunch di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands Bahagian Restoran, Merrill Pereyra.

Selain itu, mengenai menu terbaharu itu, Pereyra menjelaskan, KFC Golden Egg Crunch bersesuaian dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Menu baharu itu menampilkan perisa telur asin yang digemari ramai bersama daun kari dan selasih manis.

KFC Golden Egg Crunch diolah bersama ramuan istimewa bagi membolehkan menu tersebut menghasilkan rasa unik masin, pedas dan manis serta beraroma lazat yang pastinya akan membangkitkan selera.

“Telur asin amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehubungan itu, kami berikan sentuhan KFC dalam hidangan ini bagi menghasilkan sesuatu yang lebih tersendiri untuk dinikmati para pelanggan kami,” ujar­nya.