Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, hampir semua projek perumahan di bawah syarikatnya sebelum ini telah menggunakan kaedah yang sama.

“Al Ansar IBS merupakan antara pemaju yang sejak dahulu menyokong penggunaan tekno­logi IBS malah menambah baik dengan memilih bumbung ‘gajah’ (jenama) iaitu inovasi bumbung teknologi nano dan gentian Fiber Hybrid yang telah dilancarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran empat reka bentuk terbaharu banglo IBS di sini semalam.

Bagi membuktikan kesungguhan itu, syarikatnya mempunyai kilang IBS sendiri di Tanjung Malim, Perak yang mampu mengeluarkan kapasiti yang besar untuk membekalkan produk.

“Syarikat Al Ansar IBS turut mempunyai rekod bersih sifar terbengkalai dan menyiapkan projek perumahan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Al Ansar IBS berkolaborasi dengan syarikat Anggun Armada yang merupakan sebuah syarikat korporat dan konsultan kepada pemaju di negara ini.

Antara empat reka bentuk banglo mampu milik yang dilancarkan ialah Anggun, Armada, Millenia Type A dan Millenia Type B yang menawarkan harga antara RM164,000 sehingga RM297, 800 seunit.