Pengurusnya, Mohd. Hafiz Fisal berkata, tawaran harga menarik ini bertujuan untuk menambah bilangan kedatangan pelancong tempatan ke destinasi percutian berkonsepkan perkampungan Melayu itu.
“Keriang Hill memiliki keunikannya yang tersendiri kerana ia mampu membawa pelbagai kenangan dan nostalgia kepada mereka yang dibesarkan di dalam rumah kayu.
“Cerita zaman dahulu itu boleh dikongsikan dengan anak dan cucu serta generasi baharu jika mereka berkunjung ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui sempena lawatan media ke Keriang Hill yang terletak di kaki Gunung Keriang, Alor Setar baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Keriang Hill Resort, Datuk Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail.
Keriang Hill yang dibangunkan dengan kos pelaburan sebanyak RM10 juta, memiliki sebanyak 17 buah rumah kayu yang digelar pondok.
Setiap pondok dinamakan mengikut mukim-mukim yang terdapat di Kedah.
Keriang Hill yang terletak berdekatan dengan Muzium Padi dan dibangunkan di kawasan seluas 10 hektar itu lengkap dengan kemudahan seperti surau, gimnasium, kolam renang, dewan serbaguna dan juga restoran The Puteri.
Selain itu, Keriang Hill juga menjadi pilihan sebagai lokasi penggambaran, program pertemuan semula reunion dan juga majlis pertunangan serta majlis perkahwinan berkonsepkan suasana kampung.
Sebarang pertanyaan dan tempahan penginapan serta penganjuran majlis, boleh dibuat melalui laman web syarikat, www.kerianghill.com.my.