Acara berprestij itu bakal berlangsung selama tiga hari bermula 12 September ini bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Keriang Hill Resort Sdn. Bhd., Datuk Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail (gambar kecil) berkata, lawatan itu akan dihadiri kira-kira 50 delegasi dari 25 buah negara yang terdiri daripada ejen menjual serta membeli produk industri pelancongan dunia.

“Ia merupakan acara Lawatan Diraja Kedah dan Perlis yang mana delegasi berkenaan akan melawat beberapa tempat menarik di dua buah negeri itu termasuk  di Keriang Hill.

“Mereka akan menghadiri majlis makan malam di sini dan kami sangat berbesar hati menerima tetamu dari luar negara untuk melihat sendiri keunikan dan keistimewaan produk pelancongan yang terdapat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis lawatan ke destinasi pelancongan Keriang Hill, di Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Wan Ahmad Muazzam menjelaskan, pemilihan lokasi ini akan memberi peluang kepada pihaknya untuk mempromosikan produk pelancongan unik yang bertemakan Back To Kampung Life kepada kumpulan sasaran ini dengan lebih ­mudah.

“Pastinya, rumah kampung yang dibina daripada kayu dan memiliki reka bentuk berbeza setiap satunya bakal memikat hati delegasi luar negara ini malah ia turut dilengkapi dengan pemandangan menarik daripada sawah padi yang terbentang luas di sekeliling premis berkenaan,” jelasnya.

Beliau menerangkan, syarikat telah melabur kira-kira RM10 juta untuk projek pembangunan resort bertaraf tiga bintang itu selepas mengambil alih daripada Tou­rism Malaysia pada tahun 2010.

Sebelum ini, ia dicadangkan untuk dibangunkan menjadi sebuah kawasan perkampungan Melayu yang mempamerkan pelbagai rumah kayu tradisional kepada umum.

Bagaimanapun, projek tersebut terbengkalai dan syarikat mula mengambil alih projek hartanah tersebut sebelum ia dirasmikan pada 16 Mei 2017.

“Selain tekanan daripada dengan aspek kewangan dan kekangan masa yang suntuk, kami juga menghadapi masalah dalam proses membaik pulih rumah-rumah kayu berkenaan khusus­nya bagi memastikan struktur rumah kayu dikekalkan keaslian dan keunikannya,” ujarnya.