Dilancarkan di Sri Lanka pada Jun 2017 dengan harga Rs 3.69 juta (RM86,200), Pero­dua Bezza telah dijual kepada kira-kira 1,500 pemilik di negara itu setakat ini.

Bagi tujuh bulan pertama 2019, Bezza menduduki tempat teratas dalam kategori bawah 1 liter di Sri Lanka dari segi jualan kenderaan baharu.

Sri Lanka merupakan pasaran eksport terbesar untuk jenama Perodua dengan pengedar tempatannya, Unimo Enterprises telah menjual lebih 15,600 ken­deraan Perodua sejak 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan terus memberi sokong­an kepada para pengedar di luar Malaysia selari dengan hasrat syarikat untuk berkembang di rantau Asia Pasifik.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises, Mahesh Gunathilake dan kakita­ngannya atas usaha mereka mempromosikan jenama Perodua yang telah membawa kepada pencapaian ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Varian Bezza tunggal yang dijual di Sri Lanka dikuasakan oleh enjin 998 cc VVT-i blok aluminium yang disambungkan kepada transmisi automatik kawalan elektronik empat kelajuan dengan kecekapan bahan api yang dinilai melebihi 21 kilo­meter seliter petrol.

Sasaran eksport Perodua untuk tahun 2019 adalah sebanyak 3,270 kenderaan iaitu 50 peratus le­bih tinggi berbanding 2,184 unit pada tahun lepas.

Sementara itu, Gunathilake berkata, pelanggannya menggemari Perodua Bezza dan Axia kerana kenderaan tersebut kompak, praktikal, berkualiti tinggi, boleh dipercayai, lasak dan cekap bahan api serta mempu­nyai ruang dalaman yang luas.

“Perodua Bezza telah memperkenalkan segmen sedan kompak dengan jayanya di Sri Lanka, pasaran yang telah lama meminati kenderaan hatchback. Pelanggan kami menggemari reka bentuk Bezza, keselesaannya dan ruang bagasinya yang berisipadu 508 liter,” katanya.