Felo Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr. Carmelo Ferlito dalam satu kertas kerja dasar baharu menasihatkan agar kerajaan mengurangkan pe­ranannya dalam pasaran hartanah.

Katanya, ia dilakukan dengan mengecilkan bilangan agensi kerajaan dan menggalakkan sektor swasta terlibat dalam pasaran perumahan mampu milik.

Beliau menjelaskan, penglibatan meluas agensi kerajaan dalam pasaran perumahan mampu milik berisiko menjejaskan inisiatif swasta dan menghalang pelaksanaan penyusunan semula yang perlu dilakukan.

“Adalah penting untuk membiarkan gelembung meledak.

“Terlalu banyak kredit hanya akan melewatkan ledakan, menjadikan harga sentiasa tinggi dan merisikokan kesolvenan kewangan pembeli.

“Tanpa sokongan kredit, krisis akan berlaku dengan pantas serta memaksa penyusunan semula modal dan harga bergerak menurun,” jelasnya menerusi satu kenyataan yang dipaparkan laman sesawang IDEAS semalam.

Sehubungan itu, Ferlito mencadangkan agar kerajaan meningkatkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia ke arah nilai penjimatan dan kemungkinan yang ditawarkan oleh pasaran sewaan.

Beliau menambah, kerajaan mungkin mahu membuka dan melonggarkan peraturan dalam pasaran hartanah kepada orang asing yang memiliki visa bekerja biasa dan membayar cukai bagi membantu industri yang berada dalam kesukaran.

Dalam kertas kerjanya yang berjudul Perumahan Mampu Milik dan Turun Naik Kitaran: Pasaran Hartanah Malaysia, Ferlito berkata, perkembangan luar biasa pasaran hartanah Malaysia dalam dekad lepas telah membawa kepada lambakan dalam segmen mewah dan permintaan kurang memberangsangkan bagi rumah mampu milik.

Beliau berkata, tumpuan terhadap segmen mewah diwajarkan oleh permintaan yang tinggi dan seterusnya mengembangkan pelaburan dalam sektor tersebut

“Bagaimanapun, dengan kini kelihatan jelas kelihatan bahawa peluang keuntungan yang tidak dieksploitasikan telah hilang, maka penyusunan semula peruntukan modal menjadi suatu yang perlu,” katanya. – Bernama