Menurutnya, kerajaan telah merancang pelbagai gerak kerja termasuklah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak membabitkan beberapa kementerian bagi menangani perkara itu.

Jelasnya, salah satu daripada usaha kerajaan termasuk pelaksanaan Projek Segera Tanaman melibatkan tanaman jangka pendek yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang setahun seperti nanas, pisang dan betik.

“Dalam isu ini, pihak LPP dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) diharapkan dapat memainkan pe­ranan selain agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Contoh pelaksanaan program ini ialah Projek Tanaman Nanas Millie Dilard 2 (MD2) yang bakal dilaksanakan di Felda Sungai Tengi, Selangor bagi menampung pendapatan peneroka yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi sawit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke LPP Kelantan di sini semalam.

Menurut Mazlan, bagi Kelantan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta mengenal pasti beberapa kawasan seperti di Rantau Panjang bagi melaksanakan projek tanaman nanas yang mampu memberi pulangan dalam jangka masa singkat.

Katanya, projek terbabit membolehkan peserta melakukan aktiviti sampingan dan ia dijangka bakal dimulakan dalam tempoh tidak kurang tiga bulan dari sekarang.

“Nanas adalah tanaman komoditi yang baik dan berupaya dieksport khususnya ke China selain mampu memberikan pulangan lumayan.

“Kami akan melaksanakan tanaman ini secara komuniti di kawasan berkeluasan 2,000 hektar supaya lebih ramai pekebun boleh menyertainya.

“Kami juga akan pastikan anak benih mencukupi supaya segala projek yang dirancang tidak terhalang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazlan menegaskan walaupun berlainan kerajaan di Kelantan, kerjasama dan bantuan sentiasa diberikan kerajaan dan tiada istilah negeri yang dipinggirkan.

Jelasnya, Kelantan merupakan satu daripada enam negeri yang diberikan tumpuan lebih dalam misi membawa pertumbuhan dalam sektor ekonomi oleh kerajaan Persekutuan. – Bernama