Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu jika didapati terlibat dalam salah laku urus niaga tersebut.

“Siasatan yang dijalankan itu melibatkan Ahli Lembaga Pe­ngarah (BOD) serta pihak pe­ngurusan FGV terdahulu dan sekarang.

“Pada masa ini, kami sedang menantikan keputusan nasihat perundangan akhir yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu jika mereka didapati terlibat dalam skandal tersebut,” katanya pada satu sidang akhbar khas FGV di sini semalam.

Pada minggu lepas, FGV menerusi satu kenyataan akhbar mengumumkan telah menyelesaikan audit forensik dan siasatan ke atas empat daripada enam urus niaga serta keputusan pelaburan yang membabitkan syarikat itu.

Pasukan penyiasat forensik yang dilantik oleh BOD FGV pada Januari lalu, antara lain dilaporkan telah menyelesaikan siasatan ke atas pembe­lian Asia Plantations Limited (APL), pelaburan dalam FGV Cambridge Nanosystems Ltd. (FGV CNS) serta pembelian kondominium Troika dekat sini.

Hasil daripada siasatan itu dikatakan mendedahkan pe­nemuan yang membimbangkan.

Sementara itu, ditanya sama ada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad ialah antara individu yang sedang disiasat, Azhar bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak boleh menamakan individu yang sedang disiasat.

“Apa yang kami boleh katakan adalah ia melibatkan banyak pihak termasuk BOD terdahulu dan sekarang serta pihak pe­ngurusan FGV dulu dan kini,” ujarnya.