Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan mereka dan membantu dengan memberi taklimat mengenai operasi LTAT.

“Malah, syarikat dari Indonesia sudah dua kali datang kepada kami untuk berkongsi formula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada temu bual eksklusif bersama Kosmo! di pejabatnya di Menara Boustead di Jalan Raja Chulan di sini baru-baru ini.

LTAT yang ditubuhkan pada bulan Ogos 1972 telah berjaya mengisytiharkan dividen dan bonus yang tinggi iaitu secara purata sebanyak 11.3 peratus kepada pencarumnya sejak ditubuhkan.

Ia juga berjaya meningkatkan pendapatan dan asetnya dari setahun ke setahun.

Pada tahun 2016, pencarum yang layak telah menerima divi­den dan bonus pada kadar 12 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM685.5 juta.

Selain itu, badan tersebut turut meneri­ma pelbagai anugerah di sepanjang penubuhannya seperti Anugerah Standard Accounting System For Government Agencies dan memenangi Anugerah Ke­cemerlangan Pengurusan Ke­wangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti dengan penarafan lima bintang daripada Jabatan Audit Negara.

Lodin menjelaskan, LTAT bukan sahaja memfokuskan usaha untuk menjalankan mandatnya iaitu memberikan dividen yang baik kepada pencarumnya te­tapi turut menjalankan pelbagai inisia­tif tambahan dengan mengambil kira aspek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Ia meliputi bidang pendidikan dengan menawarkan biasiswa kepada anak anggota tentera, kemudahan rumah mampu milik oleh Perbadanan Perwira Harta Malaysia, menyediakan latihan serta bimbingan untuk menjadi usahawan selepas bersara oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera.

Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan membeli barangan keperluan harian di rangkaian Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) pada harga terendah di pasaran.

“Tanggungjawab kami bukan hanya sekadar dividen tetapi ia meliputi semua aspek dan berdasarkan CSR yang dijalankan selama ini, hanya ahli sahaja yang boleh mengadili segala usaha kami,” jelasnya.