Banyak aktiviti berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan kedua pengasas syarikat, Zafesya Network and Marketing Sdn. Bhd., Afizam Abdul Aziz dan Siti Aisah Muhamad Hamim dengan memperuntukkan sejumlah wang setiap bulan untuk dana bantuan kemasyarakatan itu.

Antara program yang dijalankan ialah membantu pelajar sekolah dan anak yatim kebanyakannya anak jati Felda serta ibu tunggal untuk meringankan beban mereka.

“Ia merupakan sumbangan kecil kami kepada penduduk di Segamat dengan niat untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan kerana kami juga pernah berasa susah ketika mula-mula membangunkan perniagaan sebelum ini.

“Lebih menarik, kira-kira 52 pekerja di syarikat kami yang beribu pejabat di Segamat juga terdiri daripada anak Felda,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Afizam, 40, menjelaskan, jerih perih yang dilalui mereka mula dirasai ketika awal terjun dalam bidang perniagaan secara separuh masa pada tahun 2007.

Usahawan ini terlibat dalam bisnes perancang perkahwinan, mengusahakan kedai makan dan mencetak kad kahwin.

Ketika itu beliau yang masih bekerja di Majlis Daerah Labis mengakui kekangan kekurangan pengalaman berniaga membuatkan langkah awalnya itu gagal di tengah jalan.

Usahanya itu turut dibantu dan disokong isterinya, Siti Aisah, 37, yang mana ketika itu bekerja sebagai jururawat di Hospital Segamat.

Pengorbanan terbesar yang dilakukan mereka ialah berhenti dari kerjaya yang bergaji tetap itu untuk merealisasikan impian mereka dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang perniagaan, namun tindakan tersebut tidak menyebelahi mereka.

“Sepanjang tahun 2007 hingga 2015, perniagaan yang diceburi kurang berjaya sehingga menyebabkan kami menanggung hutang sehingga RM400,000.

“Itu merupakan saat kejatuhan kami dalam bisnes dan terpaksa meminjam dengan ahli keluarga pula untuk meneruskan kelangsungan hidup serta hampir dikenakan tindakan mahkamah,” jelasnya.

Bagaimanapun, pengalaman lalu menjadi guru terbaik untuk mematangkan seseorang sehinggalah pasangan suami isteri ini bangkit semula dengan menceburi perniagaan runcit secara online pada tahun 2015 dengan bermodalkan kira-kira RM10,000 sahaja.

Sebagai permulaan, syarikat memasarkan produk kosmetik berjenama Simply ZS Foundation (ZS Foundation) secara online.

“Produk ini dikhususkan kepada pelanggan yang berumur 35 tahun ke atas, ia diformulasi dengan tiga fungsi dalam satu iaitu membantu mengurangkan jeragat selain bertindak sebagai pelembap dan krim siang.

“Cubaan mempromosikan produk yang mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Kementerian Kesihatan itu ternyata berkesan sehingga syarikat mencatat jualan menggalakkan daripada pelanggan.

“Jualannya telah mencecah antara 18,000 hingga 20,000 unit sebulan dan kami menjangkakan ia bakal bertambah sekali ganda sehingga 40,000 unit pada tahun depan,” jelas beliau.

Bermula daripada produk sulung itu, syarikat kini memiliki tujuh jenis produk yang dijual pada harga antara RM9.90 hingga RM80 seunit.

Pertambahan jualan tersebut turut disokong oleh komitmen daripada pengedarnya yang kini mencecah kepada 100 pengedar di seluruh negara.

Lebih membanggakan, hampir 30 peratus daripada pengedarnya telah berjaya menikmati pendapatan bersih lima angka sebulan.

Siti Aisah menerangkan, keterujaan para pengedarnya menggunakan platform media sosial dengan menggunakan Facebook dan Instagram untuk mendekati kumpulan pelanggan sasaran dengan mudah.

Selain itu, syarikat juga menggunakan pengiklanan berbayar Facebook (Fbads) sebagai pilihan terbaik untuk mempromosikan produk.

“Kami masih terus mempelajari kemahiran berniaga bersama mentor bisnes yang berjaya serta menyertai program pembangunan perniagaan dengan melibatkan kos berpuluh ribu semata-mata untuk mendapatkan pengisian ilmu dunia dan akhirat.