Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan positif itu sekali gus merancakkan industri pelancongan negara dan pihak kerajaan gembira menyaksikan syarikat tersebut terus berjaya.

“Perkembangan pesat segmen pe­nerbangan kos rendah ketika ini berbanding sedekad lalu telah melonjakkan industri pelancongan negara.

“Pelancongan sudah tentunya satu bahagian yang penting bagi ekonomi Malaysia.

“Ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan diiktiraf sebagai salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat korporat AirAsia atau lebih dikenali sebagai AirAsia RedQ di sini semalam.

Najib menjelaskan, kerajaan akan bertindak sebagai pengupaya dan pemudahcara bagi mengetengahkan polisi-polisi yang menyokong pertumbuhan kondusif pasaran dalam menjamin sektor swasta dapat terus maju termasuk industri penerbangan tambang murah.

Tambah beliau, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk memperkenal dan melaksanakan polisi-polisi yang membolehkan sektor swasta berkembang dengan lebih baik lagi.

“Sebab itu pada 2007, saya telah melihat potensi penerbangan kos rendah di negara ini dan apabila AirAsia datang kepada saya ketika meme­gang jawatan Timbalan Perdana Menteri, saya terima cadangan supaya caj perkhidmatan penumpang (PSC) diturunkan,” katanya.