Penilaian tersebut dibuat ketika pertumbuhan global dijangka perlahan iaitu pada 3.6 peratus tahun ini berbanding 3.8 peratus tahun lalu, dalam suasana ketidaktentuan ekonomi yang dipengaruhi perang perdaga­ngan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta pergolakan politik Eropah berpunca daripada Brexit.

Ketua Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee berkata, pertumbuhan KDNK negara akan disokong oleh pemulihan kapasiti pengeluaran daripada sektor perlombongan, selain permintaan pasaran pengguna yang masih merupakan enjin utama pertumbuhan.

“Selain itu, bayaran balik input cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bersamaan kira-kira 2.5 peratus daripada keseluruhan KDNK akan turut menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan bersama media berhubung unjuran global 2019 di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penyelidik Tukaran Asing Asia Tenggara dan Asia Selatan Standard Chartered, Divya Devesh.

Sementara itu, Edward menjelaskan, perang dagangan AS-China berpotensi memberikan impak positif kepada ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang, meskipun kini lebih ramai yang berbicara mengenai kesan negatif daripada ketega­ngan yang berlaku.

Malah beliau meletakkan Malaysia di tangga ketiga dalam senarai negara yang paling ba­nyak mendapat faedah daripada perang dagangan tersebut, di belakang Vietnam dan Mexico.

“Malaysia antara negara yang menjual produk serupa dengan China ke Amerika Syarikat jadi terdapat potensi perubahan rantaian bekalan daripada China ke negara ini.

“Sewaktu saya menghadiri persidangan di Vietnam baru-baru ini, hampir 80 peratus daripada sektor korporat di sana berpandangan mereka akan mendapat faedah daripada perang dagangan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Edward menjelaskan, impak positif itu akan memakan masa, mungkin antara dua hingga lima tahun kerana ia melibatkan pelaburan dan pembangunan kapasiti bagi membekalkan lebih banyak produk ke AS.