Pengarah Eksekutifnya, Dr. Zakariah Abdul Rashid (gambar) berkata, pengguna dan pengeluar sektor swasta dijangka terus menyediakan rangsangan bagi permintaan domestik tahun ini.

“Permintaan luaran juga dijangka kukuh walaupun kadar pertumbuhan eksport dan import diunjur rendah disebabkan kesan asas pertumbuhan tinggi yang direalisasikan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar mengenai Prospek Ekonomi Malaysia bagi Suku Keempat MIER di sini semalam.

Zakariah berkata, MIER telah menyemak semula KDNK negara kepada 5.6 peratus pada 2017, meningkat 0.8 peratus daripada yang diunjurkan sebelumnya.

Beliau menjelaskan, semakan semula prospek yang positif itu adalah hasil permintaan domestik yang lebih pesat daripada dijangkakan bersama kerancakan aktiviti pembuatan yang ditunjukkan peningkatan indeks pengeluaran perindustrian dan disokong oleh pertumbuhan dua angka eksport.

“Tiga suku pertama 2017 mempamerkan prestasi yang lebih baik daripada dijangkakan dengan KDNK sebenar masing-masing berkembang pada 5.6 peratus, 5.8 peratus dan 6.2 peratus.

“Sementara suku keempat dijangka menyederhana kepada di bawah lima peratus disebabkan oleh asas kukuh yang dicatatkan dalam bulan sebelumnya” ujarnya.

Mengenai inflasi pengguna secara keseluruhan, Zakariah berkata, ia diunjurkan menyederhana kepada 3.5 peratus tahun ini daripada anggaran 3.8 peratus pada 2017. – Bernama