Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, jualan runcit dan aktiviti-aktiviti promosi yang biasanya diadakan pada bulan terakhir setiap tahun akan meningkatkan penggunaan swasta.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pertumbuhan purata KDNK sudah mencecah 4.76 peratus dan jika prestasi suku keempat semakin baik, kami amat yakin pertumbuhan keseluruhan tahun ini boleh mencapai sehingga 4.9 peratus.

“Asas-asas kami termasuk penggunaan, pelaburan dan eksport masih kukuh, jadi bukanlah satu masalah (bagi kami) untuk mencapai tahap itu (4.9 peratus)," katanya kepada pemberita semasa Persidangan Unjuran Ekonomi Nasional 2019-2020 di sini semalam.

Zakariah, ketika mengulas mengenai risiko kelembapan, berkata, prestasi pelaburan swasta, yang lemah pada suku ketiga berikutan faktor luaran yang tidak menentu, tidak boleh dijadikan pergantungan kerana momentum yang perlahan itu dijangka berterusan.

Katanya, bagi sektor luaran, permintaan yang lemah untuk pembuatan, elektrik dan elektronik serta harga rendah dan permintaan untuk minyak dan gas boleh mempengaruhi pertumbuhan pada suku keempat.

“Penurunan harga minyak, yang sekarang ini berlegar sekitar AS$65 (RM272) setong, tidak akan menjadi faktor yang akan menyokong pertumbuhan.

“Momentum menurun mungkin akan berterusan sehingga 2019 dan ini akan memberikan tekanan kepada negara dalam sasarannya untuk mencapai hasil sebanyak RM261.8 bilion pada tahun depan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan me­n­jangkakan pembayaran dividen daripada Petronas yang berjumlah RM24 bilion, sementara Belanjawan 2019 dikira berdasarkan tanda aras mi­nyak mentah Brent pada AS$70 (RM293) setong.

Antara Januari dan September 2018, purata harga minyak mentah Brent berada pada AS$73.1 (RM306) setong. 
– Bernama