Penasihat Ekonomi Insti­tut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Sian Fenner berkata, sasaran lebih rendah itu berasaskan pendekatan fahaman perlindungan dagangan dan permintaan import yang perlahan oleh China.

Ia sekali gus bakal memberi kesan terhadap segmen eksport negara.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai jalinan perdagangan yang baik dengan China malah, jumlah eksport ke negara itu mencecah 10.7 peratus KDNK pada tahun lalu.

“Justeru itu, selaras dengan simulasi tarif antara Malaysia dan China, kami menjangkakan hubungan ekonomi negara dengan negara tembok besar turut terjejas teruk sama ada melalui eksport langsung mahupun tidak langsung.

“Kami juga menjangka­kan perang dagangan antara dua buah kuasa besar ekonomi dunia akan lebih tegang pada tahun hadapan, disebabkan itu unjuran kadar KDNK berkenaan dilihat realistik selain mengambil kira lain-lain faktor persekitaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Laporan Pandangan Ekonomi: Asia Tenggara bagi Suku keempat 2018 di Hilton Hotel, Kuala Lumpur Sentral di sini semalam.

Meskipun berdepan dengan cabaran terhadap prestasi eksport negara pada tahun hadapan, pertumbuhan bakal disokong menerusi permintaan domestik yang lebih positif.

Menurut Fenner, ICAEW turut menyasarkan peningkatan kedudukan fiskal negara lebih baik pada tahun hadapan.

Ia dijangka berada pada kadar defisit 3.5 peratus terhadap KDNK berbanding 3.4 peratus yang diunjurkan oleh kerajaan.

“Ramalan ini menyaksikan sasaran yang lebih berhati-hati bagi pertumbuhan KDNK untuk tahun 2019-2020, selain mengambil kira sumbangan berpotensi kepada hasil negara menerusi cukai baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika pembentangan Belanjawan 2019 lalu.