Pengasas syarikat, Ahmad Faisal Razali berkata, perniagaan yang bermula dengan modal sebanyak RM30,000 itu kini beroperasi di Restoran Cilantro, Sungai Tangkas, Kajang, Selangor.

Menurut beliau, teknik memasak secara salai konsep Barat ini masih baharu di pasaran tempatan dan ia berpotensi untuk diketengahkan di pasaran memandangkan selera dan gaya hidup pelanggan yang sentiasa berubah serta mampu berbelanja besar untuk menikmati makanan yang sedap dan unik.

“Proses salai juga berbeza kerana ia menitikberatkan teknik dan hanya menggunakan keratan daging khusus, suhu dan jenis kayu yang digunakan.

“Pemilihan kayu yang betul seperti Oak dan Hickory boleh didapati di luar negara kerana ia memiliki kan­dungan lignin yang akan memberi rasa dan aroma pada daging,” kata­nya dalam sesi taklimat kepada media di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama syarikat, Mohd. Nazir Dzulkifli.

Kedua-dua mereka merupakan jurutera dalam bidang minyak dan gas mula menceburi bidang perniagaan prosesan daging premium seperti wagyu dan angus sejak akhir tahun 2016.

Ahmad Faisal menjelaskan, penggunaan dapur khas yang dikenali sebagai Thermodynamic untuk me­nyalai daging amat penting, disebabkan itu pihaknya telah mengubahsuai peralatan yang dibeli di pasaran biasa tersebut untuk mendapatkan kawalan  suhu yang baik dan kitaran asap yang optimum untuk daging.

“Untuk mendapatkan menu Smoked Beef yang lazat dan lembut, ia perlu disalai dalam tempoh 12 hingga 24 jam,” ujarnya.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan menikmati menu Smoked Beef di restoran Cilantro, sila hubungi di talian 019-241 5040 atau 013-236 0211 atau Facebook KarnivorMalaya. - K! ONLINE