Program sulung anjuran syarikat bumiputera, Aura Iman 114 Enterprise itu juga bersesuaian untuk peniaga online, pengusaha perniagaan kecil-kecilan untuk mendapatkan barangan keperluan secara borong pada harga lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding di pusat perniagaan borong utama yang popular di negara ini.

Pengasas syarikat, Norini Ishak berkata, karnival yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 1 Ogos ini akan memberi peluang kepada usahawan yang menjual pelbagai barangan berupa pakaian Muslimah, tudung, telekung, barangan untuk kanak-kanak dan bayi serta pakaian untuk lelaki, sukan, kasut dan barangan perhiasan rumah untuk menawarkan produk secara borong dan runcit kepada pengunjung.

“Kami bakal menyediakan sehingga 85 lot gerai di kawasan strategik untuk memperkenalkan konsep borong dan runcit kepada pengunjung. Ia berbeza dengan karnival sedia ada kerana karnival ini turut menawarkan barangan secara borong pada harga yang lebih murah.

“Sehingga kini, lebih daripada 40 peratus usahawan telah membuat tempahan untuk menyertai karnival tersebut,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama syarikat, Muhammad Imran Abdul Malek.

Karnival Borong Mega 1.0 Puchong akan diadakan di Jalan Industri PBP 3, Taman Industri Pusat, Bandar Puchong yang mana ia bakal mendapat perhatian daripada komuniti di sekitar Putrajaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan kawasan berdekatannya.

Turut memeriahkan lagi program tersebut ialah pelbagai aktiviti seperti persembahan artis, karaoke, cabutan bertuah, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan kemunculan karakter adiwira serta permainan rakyat.

Jelas Norini, harga tapak sewaan adalah antara RM800 hingga RM1,500 sepanjang 10 hari karnival berkenaan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival dan tempahan sewa tapak gerai, boleh menghubungi di talian 011-690 9883.