Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Dr. Nungsari Ahmad Radhi, pada tahun ini juga pihaknya menjangkakan tekanan terhadap hasil dan seterusnya memberi tekanan kepada keuntungan syarikat penerbangan tempatan.

“Ini kerana kadar pertumbuhan kapasiti tempat duduk yang diramal bakal menjangkaui kadar pertumbuhan trafik penumpang penerba­ngan.

“Secara purata, harga mi­nyak jet pada tahun ini dijangka menjadi lebih rendah berbanding tahun lalu dan ini bakal mengurangkan tekanan kewangan yang dialami syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena terbitan edisi keempat Laporan Industri Dwi Tahunan Waypoint di sini semalam.

Nungsari menjelaskan, pada tahun 2018. Malaysia telah mencatat jumlah penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik sebanyak 102.5 juta.

Tambah beliau, peningkatan trafik penumpang pe­nerbangan antarabangsa sebanyak 5.5 peratus menjadi pendorong utama pertumbuhan kadar trafik penumpang.

“Kadar pertumbuhan trafik penumpang penerba­ngan yang semakin rendah disebabkan oleh kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara yang lebih rendah iaitu sebanyak 4.7 peratus (berbanding 5.9 peratus pada tahun 2017).

“Faktor lain ialah pe­ngurangan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan Malaysia dan asing masing-masing sebanyak 6.4 peratus dan 4.5 peratus, berbanding 8.6 peratus dan 15.6 peratus pada tahun 2017,” jelasnya.

Selain itu, purata peroleh­an tempat duduk kilometer tersedia pada tahun 2018 bertambah secara marginal kepada 16.3 sen.