Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, daripada jumlah berkenaan, PKS bumiputera menunjukkan kenaikan jualan purata 20 peratus.

“Sebahagian daripada pertumbuhan tersebut disumbangkan daripada produk makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Program Cita rasa Malaysia bertemakan Jom sokong produk-produk PKS tempatan di Tesco Shah Alam semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Jamil Salleh.

Pada acara berkenaan, 10 pembekal PKS bumiputera diberi pengiktirafan bagi kecemerlangan prestasi jualan mereka pada tahun lalu.

Sementara itu, Ritchie menjelaskan, daripada 2,140 pembekal Tesco, sebanyak 140 pembekal adalah PKS yang menawarkan 1,631 unit simpanan stor (SKU) kepada pelanggan.

“Pengguna sentiasa menginginkan produk yang memenuhi kehendak, keperluan dan pada harga berpatutan, maka penambahbaikan produk memainkan peranan penting dalam memacu jualan.

“Peningkatan jualan produk tersebut turut merangkumi kualiti, memberi nilai tambah dan pembungkusan yang menarik.

“Selain itu, penawaran produk yang unik dan inovatif, baharu atau bentuk yang berbeza, seperti penyediaan pek kanak-kanak yang lebih kecil berbanding pek keluarga, juga dapat mempengaruhi jualan,” jelasnya.

Ketika ini, terdapat 104 PKS bumiputera yang membekalkan pelbagai jenis produk ke 56 rangkaian Tesco di seluruh negara.