Pengerusinya, Datuk Mohammad Zai­nal Shaari berkata, sehingga kini, mi ku­ning yang telah berada di pasaran sejak pertengahan Mei lalu itu dijual lebih daripada dua juta pek di seluruh negara.

Menurut beliau, NuMee dihasilkan daripada bahan-bahan berkualiti tinggi, tanpa bahan pengawet serta sebarang pewarna tambahan sekali gus menjadikan ia sebagai produk mi kuning pertama di pasaran Malaysia yang melalui proses pempasteuran bagi membunuh bakteria dan patogen yang boleh mengancam kesihatan manusia.

“Sambutan yang baik ini adalah kerana keyakinan pengguna terhadap kualiti dan tahap kebersihan produk mi kuning kami.

“Keseluruhan proses daripada kajian sehinggalah kepada penyempurnaan dalam pembuatan serta penyediaan produk NuMee ini mengambil masa dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Pemakanan Sihat Bersama NuMee 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, Gardenia menyum­bang sebanyak 20,400 pek NuMee kepada 100 buah sekolah sempena program tersebut.

Mohammad Zainal menjelaskan, sumbangan tersebut adalah untuk tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September tahun ini.

Beliau berkata, jumlah sumbangan itu bersamaan dengan 122,400 hidangan sihat untuk dinikmati oleh murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia.

“Ia adalah platform yang paling ideal bagi Gardenia untuk menerapkan mesej kepentingan tabiat pemakanan yang sihat dalam kalangan warga sekolah di Malaysia untuk kekal aktif,” katanya.