Masterpact MTZ hadir dengan ciri-ciri canggih termasuk boleh dikawal menggunakan telefon pintar, menggunakan sistem modular bagi memudahkan proses naik taraf dan mampu berfungsi dengan baik dalam persekitaran yang ekstrem.

Ia direka untuk melindungi sistem elektrik rosak berpunca daripada litar pintas, tenaga berle­bihan dan kerosakan peralatan.

Naib Presiden Komersial bagi Produk Tenaga, Schneider Electric Asia Pasifik, Oniel Ramindu Dissanayake berkata, rangkaian pemutus litar generasi baharu itu mula diperkenalkan di Australia dan Singapura tahun 2006, sebagai dua pasaran yang amat menitikberatkan soal bandar pintar dan penjimatan tenaga.

“Kami telah menjual kira-kira 30,000 unit produk baharu ini, malah Malaysia telah pun memiliki pengguna Masterpact MTZ sebelum ia dilancarkan di sini.

“Ia melalui penjualan daripada sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas, syarikat tersebut telah mendapatkan 200 unit produk itu dari Singapura.

“Produk ini turut disasarkan kepada industri yang mana penggunaan tenaga elektrik adalah kritikal, seperti sektor semi konduktor, elektronik dan pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Masterpact MTZ di sini baru-baru ini.

Menurut Dissanayake, penggunaan Masterpact MTZ adalah selamat dari segi keselamatan siber meskipun ia mampu dikawal menerusi aplikasi telefon pintar.

“Kami memiliki sistem awan sendiri yang disediakan Microsoft. Bagaimanapun dari segi keselamatan siber, pengguna harus mengamalkan langkah-langkah keselamatan bagi memastikan ia tidak boleh diceroboh,” katanya.