Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, permintaan dijangka berterusan walaupun selepas SST dikuatkuasakan kerana kereta dianggap sebagai satu keperluan.

“Keperluan bagi kereta di Malaysia masih ada dan orang akan terus membeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pembe­rita selepas majlis pelancaran pusat Proton 3S di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Bagaimanapun, Abdul Rashid menjelaskan, harga kereta akan mening­kat selepas SST kerana cukai perkhidmatan itu ditetapkan pada 10 peratus berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan pada enam peratus.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kuantiti jualan dan menarik pe­langgan membeli kereta,” katanya.

Sementara itu, Li menjelaskan, Proton akan mula menerima tempahan bagi kenderaan utiliti sukan pertamanya bermula bulan depan.

Mengenai jualan pada bulan Julai, Abdul Rashid menerangkan, Proton menjual sebanyak 8,102 unit yang mana ia merupakan prestasi terbaik pernah dicatat dalam tempoh 30 bulan.

Beliau berkata, selain daripada GST berkadar sifar yang menyumbang kepada kenaikan jualan itu, pasaran juga menerima dengan positif jenama Proton menerusi usaha meningkatkan kedudukannya dalam pasaran.

“Kami telah melakukan banyak perkara untuk menambah baik vendor dan pengedar kami,” katanya.